Berita Harian 20/05/2009
IPOH: Kerajaan Perak memohon peruntukan RM50 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk pembiayaan projek memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau sendiri menulis surat permohonan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana menganggap ia adalah projek yang perlu disegerakan dan pada masa sama, berhasrat membina lapangan terbang baru di lokasi lain.
"Kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan beberapa kali dengan Kementerian Pengangkutan dan kami berpendapat LTSAS perlu dipanjangkan kira-kira 200 meter lagi. Kita tahu ada beberapa halangan seperti lokasi tidak strategik dan terdapat kira-kira 70 rumah di persekitaran lapangan terbang itu yang mungkin terbabit.
Kita merancang projek ini diteruskan supaya kapal terbang bersaiz Airbus dapat mendarat di LTSAS, tanpa menjejaskan rumah di persekitarannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sambutan Jubli Perak dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah.
Majlis itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di sini, semalam. Zambry berkata, penambahbaikan LTSAS penting kerana dua syarikat penerbangan AirAsia dan Firefly secara dasarnya bersetuju untuk mengadakan perkhidmatan penerbangan dari lapangan terbang itu dengan cadangan destinasi antaranya ke Singapura; Guangzhou, China serta Medan, Indonesia, sekali gus membolehkan LTSAS dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata, kajian sedang dijalankan untuk mencari lokasi sesuai bagi pembinaan lapangan terbang baru yang lebih moden dan besar di negeri ini dengan beberapa kawasan dikenal pasti, termasuk di kawasan Perak Tengah dan Lembah Beriah dekat Alor Pongsu di Bagan Serai. Zambry turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada sekolah menengah kebangsaan agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu untuk pembesaran makmal bahasanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan