Selasa, 19 Mei 2009

Dua penumpang pesawat dikuarantin

oleh AMRAN MULUPutusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 18 Mei - Dua penumpang pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dan AirAsia AK-5358 kini dikuarantin di rumah masing-masing mulai semalam bagi memantau sama ada mereka dijangkiti selesema babi atau virus influenza A (H1N1).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman berkata, sejurus mendapat maklumat mengenai mereka, pihaknya telah berjaya mengesan kedua-dua lelaki itu dan dikuarantin di rumah masing-masing selama tujuh hari.

"Kedua-duanya disahkan menaiki pesawat MH091 dan AK-5358. Mereka kini dikuarantin di rumah masing-masing bagi memantau sama ada dijangkiti H1N1 atau tidak," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas usaha kerajaan untuk mengesan penumpang MH091 dan AK-5358 dan setakat ini tiga penumpang telah disahkan positif H1N1.

Menurut Ghazali, pemeriksaan awal mendapati mereka tidak mempunyai sebarang simptom dijangkiti wabak berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau, pemantauan rapi selama seminggu akan dibuat ke atas kedua-dua lelaki tersebut untuk memastikan mereka bebas daripada jangkitan itu.

"Ia masih di peringkat siasatan dan kita belum pastikan mereka ini positif dijangkiti wabak ini. Setakat ini mereka tidak menunjukkan sebarang simptom H1N1," katanya.

Bagi tujuan itu beliau berkata, mereka telah dinasihatkan supaya terus berada di rumah masing-masing sehingga selesai pemeriksaan rapi dijalankan.

Tiada ulasan:

ADVERTLETS.COM

ADVERTLETS.COM